Sabtu, 8 Januari 2011

Percubaan Menceroboh Jasad Rasulullah S.A.W



Percubaan Menceroboh Jasad Rasulullah

Pada abad ke 12 masihi atau abad ke 7 hijrah, berlaku peperangan antara tentera salib dengan pejuang islam. Peperangan itu dikenali dengan nama Perang Salib. Pelbagai usaha dilakukan bagi mencemar kesucian agama Islam. Antaranya ialah rancangan bagi mencuri jasad Rasulullah. Mereka membuat rancangan yang cukup rapi dan teliti. Sekiranya tidak kerana kekuasaan yang melindungi jasad kekasih-Nya yang mulia itu, sudah pasti rancangan itu Berjaya.

Pada suatu malam dalam tahun 557 hijrah, Sultan Nuruddin abul Kasim Mahmud bin Imaduddin Zanki bermimpi melihat Rasulullah menudingkan tangan tangannya kearah dua orang lelaki berambut perang dan bermata juling sambil berkata, “Selamatkanlah saya daripada dua orang lelaki berambut perang yang jahat itu.”

Beliau terjaga daripada tidur lalu bangun mengambil wuduk mengerjakan sembahyang tahajjud dan selepas itu tidur semula dan mimpi yang sama berulang lagi. Sekali lagi beliau terjaga lalu memikirkan apakah erti mimpinya itu. Disebabkan menyangka mimpi itu Cuma mainan tidur, beliau masih tidak menghiraukannya. Selepas berwuduk beliau menyambung tidurnya semula. Namun, buat kali ketiga beliau mengalami mimpi yang sama.

Kali ini Sultan Nuruddin tidak lagi berdiam diri lalu mengejutkan khadamnya dan disuruh memanggil perdana menterinya, Jamaludin al-Mausili. Kemudian diceritakannya mengenai mimpi aneh yang dialaminya sebanyak tiga kali.

“Wahai tuanku, mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku di Madinah. Tuanku jangan berdiam diri. Mari kita berangkat ke sana dan jangan beritahu sesiapa mengenai perkara ini.” Kata Jamaludin al-Mausili.

Pada malam itu juga, Sultan Nuruddin Kasim Mahmud membuat persiapan lalu pergi ke Madinah. Beliau diiringi oleh Jamaludin al-Mausili serta berpuluh-puluh orang pengawal. Apabila sampai di Madinah, Sultan Nuruddin Kasim Mahmud terus menuju ke Masjid Nabi, mengambil wuduk, bersembahyang sunat lalu duduk iktikaf di Raudhah. Beliau mendapati suasana di dalam masjid termasuk kamar di mana terletaknya perkuburan Nabi Muhammad di dalamnya kelihatan tenang sahaja. Beliau tidak Nampak apa-apa yang ganjiil berlaku.

Apabila selesai sembahyang subuh keesokan harinya, Sultan Nuruddin Kasim Mahmud membuat pengumuman hendak memberi sedekah kepada semua penduduk Madinah. Tujuannya bagi mencari lelaki berambut perang seperti yang ditunjukkan dalam mimpinya.

Selepas orang ramai datang mengambil habuan mereka, Sultan bertanya apakah semua penduduk Madinah sudah mendapat habuan masing-masing?mereka menjawab sudah dapat kecuali dua hartawan dari maghribi yang alim. Mereka tidak mahu menerima sedekah daripada sesiapa tetapi mereka selalunya bersedekah.

“Beta mahu dua lelaki hartawan itu dibawa datang ke sini.” Perintah sultan kepada pengawalnya.

Perintah itu segera dijalankan. Apabila dua lelaki itu datang menghadap. Sultan Nuruddin Kasim Mahmud terpegun kerana dua lelaki itu yang dilihatnya dalam mimpi. Apabila ditanya, kedua-dua lelaki yang berlagak alim itu mengatakan tujuannya datang ke Madinah hendak beramal ibadat. Penduduk Madinah juga mengakui bahawa kedua-dua lelaki itu baik dan alim. Setiap hari mereka datang ke masjid bagi beramal ibadat.

“Kedua-dua lelaki itu berpuasa setiap hari dan sentiasa menunaikan sembahyang di Raudhah serta sering menziarahi kamar nabi. Mereka juga sering menziarahi perkuburan Baqi’ setiap pagi dan menziarahi Masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu. Kedua-dua lelaki ini tidak menolak apabila ada yang minta bantuan. Disebabkan itu, bebaskan mereka wahai khalifah,” beritahu gabenor Madinah.

Namun Sultan Nuruddin Kasim Mahmud tidak berpuas hati lalu pergi ke rumah tempat tinggal kedua-dua lelaki tersebut. Didapati rumah itu banyak harta tetapi masih tidak Nampak apa-apa yang mencurigakan. Beliau duduk berehat sambil berdoa diberikan petunjuk.

Tiba-tiba mata baginda melihat sehelai tikar terhampar di suatu sudut rumah itu. Hati baginda tiba-tiba tergerak bagi menyelak tikar itu. Alangkah terperanjatnya baginda apabila mendapati ada sebuah lubang dibawah tikar itu. Baginda menyuruh pengawalnya masuk ke dalam lubang itu. Ternyata lubang itu digali menghala ke kamar Rasulullah di Masjid Nabi.

Orang ramai menjadi gempar dengan penemuan itu dan kedua-dua lelaki itu ditangkap dan dihukum. Apabila disoal siasat, kedua-dua lelaki itu tidak mahu memberikan kerjasama tetapi selepas dipukul dan disakiti, barulah mereka membuat pengakuan.

Mereka sebenarnya orang Kristian yang dihantar oleh angkatan pejuang salib (Crusaders) ke Madinah dengan menyamar sebagai Jemaah haji dari Maghribi. Mereka dibekalkan dengan harta yang banyak bagi menjalankan satu tugas rahsia iaitu mencuri jasad Rasulullah dan dibawa pulang ke Negara mereka.

Kedua-dua lelaki itu menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan masjid Nabi bagi memudahkan mereka mengorek lubang menuju ke makam Rasulullah. Setiap malam mereka mengorek lubang itu. Tanah daripada galian itu dimasukkan ke dalam guni lalu keesokannya paginya dibawa ke perkuburan Baqi’ dan dibuangnya di sana. Kegiatan mereka tidak disedari penduduk Madinah kerana menyangka mereka orang alim yang menziarahi perkuburan Baqi’ pada setiap pagi.

Pada setiap hari sabtu pula, kedua-duanya pergi ke Masjid Quba’ dan bertemu dengan rakan mereka bagi melaporkan hasil kerja mereka serta mendapat bekalan harta baru.

Usaha mereka itu hampir Berjaya apabila lubang yang digali Cuma tinggal sedepa untuk sampai ke kubur Rasulullah. Allah yang maha berkuasa menggagalkan usaha itu melalui Sultan Nuruddin Kasim Mahmud. Baginda bersyukur kerana dipilih bagi menyelamatkan jasad Rasulullah yang mulia itu.

Kemudian Sultan Nuruddin Kasim Mahmud memerintahkan kedua-dua lelaki itu dihukum pancung. Baginda juga mengarahkan digali sebuah parit yang dalam di sekeliling kamar nabi, kemudian dituang dengan timah cair supaya tidak lagi ditembusi oleh sesiapa.

Dipetik Dari,Novel Sejarah Islam, Umar Abdul Aziz (Bayangan Khalifah ar-Rasyidin)

Marilah sama-sama kita selawat kepada Nabi kita Muhammad S.A.W.